Thursday, March 4, 2010

Mendigit

Mendigit adalah satu proses memperolehi sumber data dari peta yang diimbas kepada format data GIS dalam bentuk garisan, titik atau poligon. Ianya satu proses yang mudah tetapi meremehkan kerana kerja mendigit ini memerlukan tumpuan dan perhatian yang sepenuhnya. Jika tidak, hasil kerja-kerja mendigit tidak begitu baik dan kurang berkualiti. Kesannya adalah staf terpaksa membuat kerja lebih di dalam membersih ralat data supaya setiap garisan bercantum dengan kemas dan tepat serta poligon berada dalam 100% tertutup. Jika tidak ralat data masih ada lagi.

Mendigit sumber data spatial ada banyak cara dan kaedah. Ianya boleh dibahagikan kepada dua mendigit secara manual dan mendigit secara automasi komputer. Mendigit secara manual banyak dilakukan oleh syarikat-syarikat GIS kerana kaedah ini adalah satu proses ulangan yang dilakukan secara langsung tanpa perlu melibatkan banyak parameter seperti perisian dan perkakasan. Mendigit secara automasi komputer kebiasaannya dilakukan oleh agensi kerajaan atau swasta yang mempunyai kemudahan perisian dan perkakasan yang amat baik kerana kaedah ini mempraktik proses yang teliti, kemas tetapi hasil pendigitan yang begitu baik.

Dalam isu ini, kita akan memperkatakan mendigit secara manual. Mendigit secara manual banyak dipraktikkan di dalam organisasi GIS kerana kos murah, menggunakan peralatan yang tidak begitu mahal tetapi menggunakan sumber tenaga manusia. Kaedah yang biasa dilakukan adalah mendigit di atas skrin dan mendigit di atas papan mendigit. Mendigit di atas papan mendigit tidak lagi popular sebagaimana pada permulaan awal GIS bertapak di Malaysia. Sekarang dengan kemajuan teknologi komputer, LCD monitor boleh diperolehi dalam 24 inci. Ditambah pula jika komputer tersebut dipasang pula kad grafik maka imej akan menjadi lebih jelas, terang dan mempunyai warna yang banyak. Keupayaan untuk mendigit di atas skrin telah menjadi popular di kalangan syarikat GIS. Jika dibandingkan dengan kedua-dua kaedah tersebut, mendigit di atas skrin adalah lebih tepat, teratur dan mudah menyemak kerja-kerja mendigit yang dilakukan. Bagi kawasan raster yang padat, staf boleh menggunakan arahan zoom-in untuk melihat lebih jelas dan memahami paparan raster yang dilihat. Pastikan bahawa hanya terdapat tiga bentuk spatial yang didigit iaitu titik, garisan dan poligon.

Umumnya jika kita belajar di sekolah rendah lagi cikgu lukisan telah pun mengajar kita bentuk asas tersebut. Kita cuma tahu dengan bentuk-bentuk tersebut maka kita dapat mengembangkan lagi objek-objek lain dengan penuh gaya baru dan kreativiti. Pastikan di dalam kerja-kerja mendigit titik, garisan dan poligon jangan mencampuradukkan di antara objek-objek ini kerana GIS mempunyai metadata yang mewakili setiap layer yang dibangunkan. Setiap layer GIS hanya boleh mewakili satu objek sahaja tidak lebih dari itu.

Oleh itu, jika kita terjumpa layer GIS yang telah kita bangunkan mempunyai lebih dari dua bentuk objek, maka konsep pangkalan data GIS yang telah kita bangunkan adalah salah dari segi teknikal dan perlu diperbetulkan dengan segera. Ini kerana layer GIS bukan macam layer AutoCad yang boleh dimasukkan dengan pelbagai bentuk objek. Prinsip ini kita kena faham betul-betul supaya kos dan masa untuk pembangunan pangkalan data GIS dapat digunapakai sepenuhnya.

Gambar contoh mendigit petas topo di atas tablet bersaiz AO.

No comments: