Saturday, March 26, 2011

Kampung Pensiangan, Sabah



















Keadaan persekitaran Kg Pensiangan. Rumah berwarna gelap itulah kedai runcit dan rumah berwarna kuning itu rumah rehat. Dahulu semasa zaman konfrontasi dengan negara Indonesia, Kg Pensiangan dikenali sebagai Pekan Pensiangan. Di sini ada balai polis, pejabat daerah dan lain-lain lagi. Tapi sekarang tiada sudah ....

Ini kisah pengalaman buat projek di Sabah. Ada satu lokasi iaitu Kampung Selong yang terletak di daerah Keningau, Sabah adalah penghujung jalan tanah merah sebelum boleh pergi ke Kg Pensiangan. Jika hendak pergi, kena menaiki perahu mengambil masa lebih kurang 2 - 3 jam bergantung kepada air sungai. Jika air sungai dalam, maka cepatlah sampai di destinasi, jika air sungai cetek terpaksa turun tolak perahu. Apabila periksa tambang perahu boleh tahan juga. Kata pembantu perubatan di situ memang begitu harganya. Hasrat nak selesaikan kerja di Kg Pensiangan terpaksa ditangguh buat sementara kena fikir cara alternatif hendak pergi ke Kg Pensiangan. Keluar balik ke Sepulut dan selesaikan kerja-kerja di kawasan sana dan di sebelah petang balik ke Keningau.

Berikut adalah antara gambar yang sempat dirakam semasa perjalanan ke Kg Pensiangan ...




































Salah satu anak sungai yang perlu diharungi. Di tepi sungai agak dalam tapi di tengah kenderaan 4WD boleh lepas. Jika hujan lebat air sungai akan dalam. Terpaksa tunggu sehingga surut baru boleh lintas. Keadaan jalan basah dan licin.

Salah satu kenderaan 4WD tersangkut di dalam lumpur. Jeep berwarna merah digunakan untuk menarik kenderaan tersebut.

Di bawah ini adalah rakaman video amatur oleh individu yang memasuki Kg Pensiangan menggunakan bot. Video ihsan ini diambil dari YouTube untuk berkongsi pengalaman hidup.


Beberapa minggu kemudian, kembali semula ke daerah Keningau. Tiba di Sepulut setelah menempuh perjalanan tanah merah gravel sejauh 320 km selama 5.5 jam lebih dari Tawau melalui Kalabakan. Jalan ini dikategorikan jalan baru di bahagian barat Sabah tapi belum siap diturap lagi. Kalau nak lalu jalan ini, seelok-eloknya pada waktu siang kerana waktu malam jalan ini agak sunyi. Di kiri kanan jalan adalah hutan belantara sahaja. Ada satu lokasi, jalan ini tidak berapa jauh dari sempadan Indonesia. Kadang-kadang boleh dengar coloteh DJ radio Indonesia.

Tiba di Sepulut jam 4 petang dalam hujan lebat. Teringat Kg Pensiangan sebab ada kerja tak selesai lagi. Tanya pada orang kampung kata ada jalan tanah merah boleh masuk ke Kg Pensiangan. Pakcik itu berpesan kena berhati-hati sebab jalan tanah merah ini licin dan berbahaya sebab jalan ini melalui kawasan bukit dan tebing bukit yang curam dan tinggi. Jarak hanyalah 20 km dari Sepulut ke Kg Pensiangan jika diukur dalam peta. Tapi perjalanan masuk semasa hari hujan mengambil masa 4 jam sebab jalan licin dan berselut. Jika tidak cekap mengawal kenderaan 4WD boleh terhumban ke bawah bukit atau sungai. Kena tempuh 4 batang anak sungai sepanjang perjalanan. Apabila masuk ke dalam rupa-rupanya jalan ini berkongsi dengan jalan company, syarikat yang mengeluarkan kayu balak. Banyak simpang di sepanjang jalan ini terpaksa berhenti beberapa kali untuk bertanyakan simpang jalan yang betul. Ketika jam 6.30 hari sudah gelap. Ketika ini masih belum nampak lagi bayang-bayang Kg Pensiangan. Jam 7.00 malam kenderaan masih lagi bergerak di dalam hutan. Tiada tanda-tanda nak sampai di Kg Pensiangan. Jam 7.30 malam rasa tak sedap hati sebab tengok dalam GPS sudah jauh dari lokasi sebenar. Tengok di kiri kanan disuluh cahaya bulan hanya ada hutan belantara dalam keadaan gelap gulita. Pusing balik kenderaan dan pergi cari kongsi balak di tepi jalan tadi. Rupanya simpang yang betul sudah terlepas dan telah tersesat lebih 5 km dari simpang tadi. Alhamdulillah jam 8.00 malam tiba di Kg Pensiangan dalam kabus tebal dan sejuk.
Setelah kerja selesai, jururawat klinik kesihatan tidak bagi balik malam itu juga sebab keadaan jalan berbahaya dan gelap. Terpaksa menumpang di rumah Cikgu. Terima kasih kepada Cikgu kerana sudi menerima tetamu dalam keadaan kecemasan. Malam itu makan apa yang sahaja yang ada tapi tidak boleh tidur lena sebab asyik fikir esok macamana nak keluar balik.

Alhamdulillah, pagi-pagi esok selepas bersalaman dengan Cikgu Mahathir dan Ustaz Nawi, saya bertolak keluar ke Bandar Keningau. Perjalanan keluar ambil masa lebih kurang sejam lebih sahaja kerana keadaan jalan sudah kering. Bila sampai di pertengahan jalanraya berhampiran kawasan Nabawan ada sekatan jalanraya. Apabila melihat kenderaan 4WD, Sarjan Polis itu bertanya datang dari mana. Saya mengatakan baru keluar dari Kg Pensiangan, lama juga bersembang dengan sarjan tentang pengalaman di sana sebab waktu itu kenderaan tiada.

No comments: